fb fb fb fb fb

Cheong Min tidak akan bersara, mahu terus berjuang untuk negara

Ratu wusyu negara, Tan Cheong Min/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Disember - Ratu wusyu negara, Tan Cheong Min tidak berhasrat untuk bersara dalam masa terdekat, meskipun kini berusia 27 tahun.

Sebaliknya beliau mahu terus meningkatkan prestasi bagi menghadapi dua kejohanan utama akan datang.

Cheong Min berkata pencapaian cemerlang yang diraih pada Sukan SEA Thailand baru-baru ini menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk bekerja lebih keras dalam misi memburu pingat pada Sukan Asia 2026 serta Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.

"Saya tidak akan bersara lagi kerana saya rasa masih mempunyai potensi untuk terus bersaing. Saya mahu berjuang untuk negara, untuk sukan ini dan juga untuk diri saya sendiri.

"Dari kejohanan pertama iaitu pada Julai hingga Sukan SEA, keputusan yang saya capai agak baik dan konsisten. Semua pencapaian ini menjadi motivasi untuk saya berjuang mendapatkan keputusan lebih baik, termasuk peluang naik podium di Sukan Asia, selain meningkatkan keyakinan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui di sini.

Tambah beliau, fokus utamanya ketika ini adalah memulihkan sepenuhnya kesan kecederaan lama koyak otot yang dialami sebelum kembali menjalani latihan intensif.

Terdahulu, Cheong Min dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik Negara susulan prestasi mengagumkan pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Pada temasya berkenaan, beliau merangkul pingat emas acara gabungan tiga disiplin iaitu nanquan, nandao dan nangun sebelum membantu pasukan negara menambah koleksi emas menerusi acara duilian bersenjata berpasukan wanita.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN