fb fb fb fb fb

Bekas atlet berdaftar dengan YAKEB layak terima bantuan

KUALA LUMPUR, 25 Julai - Bantuan yang disalur Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bukan hanya bersifat jangka pendek malah bersifat jangka panjang.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata YAKEB turut membantu atlet dari segi memberi latihan kemahiran melalui pelaksanaan kursus termasuk bantuan asas peralatan perniagaan.

Katanya, untuk melayakkan bekas atlet mendapatkan semua bantuan dan kemudahan tersebut, mereka hanya perlu berdaftar secara percuma sebagai ahli YAKEB.

(Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker)

"Syarat pendaftaran adalah bekas atlet itu perlulah sekurang-kurangnya pernah mewakili negara ke temasya Sukan Sea, Sukan Komanwel, Sukan Asia atau Sukan Olimpik. Mereka yang pernah mewakili negara ke kejohanan dunia yang diiktiraf juga layak untuk memohon menjadi ahli YAKEB," katanya ketika menjawab pertanyaan wakil Hulu Selangor June Leow dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Tambah Datuk Seri Ti Lian, bagi memastikan masa depan atlet-atlet negara terjamin, Malaysia Athlete Career and Education (MACE) turut memberi penekanan kepada aspek pendidikan, kerjaya dan kebajikan.

"Majlis Sukan Negara (MSN) juga turut memberikan insentif Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) bagi menghargai pengorbanan atlet-atlet negara yang telah memenangi pingat di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik.

"Mereka akan menerima elaun bulanan sepanjang hayat merangkumi pemenang pingat Emas yang menerima elaun 5 ribu ringgit, pingat Perak 3 ribu ringgit dan pingat Gangsa 2 ribu ringgit," katanya.

Media Baharu