GIRONA, 16 September - Bintang remaja Lamine Yamal menjaringkan dua gol bagi membantu Barcelona membelasah Girona 4-1.
Barcelona pimpinan Hansi Flick kini telah memenangi semua lima perlawanan pembukaan mereka.
Dua jaringan Yamal pada babak pertama meletakkan Barcelona di laluan tepat untuk meraih kemenangan sebelum Dani Olmo dan Pedri Gonzalez menambah derita pasukan lawan pada babak kedua.
Penyerang Girona, Cristhian Stuani berjaya mengurangkan defisit jaringan buat tuan rumah, yang pada musim lalu menamatkan kempen saingan di kedudukan ketiga.
Barcelona mempunyai momentum baharu di bawah bekas jurulatih Bayern Munich dan Jerman itu.
"Saya fikir anda boleh melihat keyakinan yang kami ada, dan apabila kami memiliki bola, kami mempunyai kualiti untuk bermain dan mencipta peluang," kata Flick kepada pemberita.
"Saya rasa hari ini kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan satu atau dua gol lagi, tetapi akhirnya saya sangat gembira dengan prestasi pasukan."
Yamal, 17, dan penyerang Robert Lewandowski berganding bahu pada awal saingan sebelum bintang muda yang membantu Sepanyol meraih kejayaan di Euro 2024, memecah kebuntuan jaringan.
"Kami mula sangat tertumpu, sangat fokus, kami menekan mereka -- kami tahu apabila kami memberi mereka ruang yang mereka perlukan untuk kombinasi kami mendapat masalah," kata Flick.
"Anda melihat gol pertama, ia sangat bagus daripada Lamine."
Girona berada di tempat ketujuh selepas kekalahan itu, dengan perlawanan seterusnya mereka adalah debut Liga Juara-Juara di tempat lawan di Paris Saint-Germain.- AFP