fb fb fb fb fb

Atlet wanita hamil kini dibenar teruskan latihan - Hannah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merasmikan Taska Team MAS di Institut Sukan Negara (ISN), Kuala Lumpur/FB Menteri

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Majlis Sukan Negara (MSN) kini membenarkan atlet wanita yang hamil untuk menyertai program latihan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan perkara itu selaras pindaan klausa kehamilan dalam kontrak atlet.

Namun beliau menjelaskan, segala aktiviti perlu bergantung kepada keupayaan atlet berkenaan.

"Saya bagi contoh yang mengandung, mungkin ada atlet memanah. Kemudian, latihan berbanding dengan atlet olahraga adalah berbeza. Oleh sebab itu, Majlis Sukan Negara (MSN) akan menilai kes demi kes untuk menjadikan klausa itu lebih mesra wanita," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.

Hannah berkata demikian selepas merasmikan Taska Team MAS di Institut Sukan Negara (ISN), Kuala Lumpur.

Tambahnya, kontrak atlet wanita juga diperkukuh dengan cuti tahunan dan kecemasan tujuh hari serta cuti paterniti tujuh hari bagi atlet lelaki bertujuan memastikan sokongan lebih baik kepada atlet berkeluarga.

Dalam perkembangan lain, KBS sedang mencari Ketua Pegawai Eksekutif bagi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 yang akan diadakan di Malaysia pada 2027.

Hannah berkata pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sebelum menyenaraikan secara terperinci ahli Jawatankuasa Pengelola temasya itu.

"Selepas raya nanti, kita akan ada perbincangan dengan JPA untuk kita muktamadkan jawatan-jawatan yang telah kita rancang untuk kajian dan dalam jawatankuasa ini seperti yang diumumkan.

Kita telah umumkan struktur dulu pengerusi, timbalan pengerusi yang melibatkan KSU dan Menteri di Sarawak. Selepas perbincangan dengan JPA, kita akan lantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan kemudian CEO akan membuat keputusan bagaimana pelantikan yang lain akan dibuat," tambah Hannah.

Semalam, kerajaan meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 2027.

Malaysia akan kembali menjadi tuan rumah Sukan SEA selepas kali terakhir pada 2017.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM