BANGI, 12 Julai- Insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) ditawarkan bernilai hampir RM2.4 juta kepada atlet Sukan Olimpik Khas Dunia yang mewakili negara susulan pencapaian cemerlang mereka.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, peruntukan itu sebagai penghargaan kepada pencapaian mereka.
"Kita perlu lihat untuk memberikan insentif yang lebih efektif kepada atlet kita. Dengan majlis seperti ini para atlet boleh melihat sendiri hadiah kemenangan yang ditawarkan kepada mereka.
"Ia secara tidak langsung akan memberikan semangat kepada mereka untuk terus fokus dan bekerja dengan lebih kuat," katanya kepada pemberita di sini.
Atlet-atlet yang membawa pulang pingat pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 menerima ganjaran lebih RM1.2 juta dengan atlet sukan olahraga dan pencak silat mengumpul jumlah insentif tertinggi.
Skuad olahraga membawa pulang lima emas, tiga perak dan 11 gangsa menerima insentif keseluruhan RM140,000 manakala pencak silat yang memenangi empat emas, lima perak dan empat gangsa menerima RM115,000 insentif keseluruhan.
Bagi Sukan Para ASEAN Kemboja 2023 menerima menerima insentif sebanyak RM1.18 juta dengan atlet para renang sahaja membawa pulang kira-kira RM500,000 atas kejayaan cemerlang meraih 26 pingat emas, 12 perak dan 10 gangsa.
Majlis itu turut meraikan kejayaan atlet negara yang beraksi di Sukan Olimpik Khas 2023 di Berlin, Jerman.
Kontinjen Malaysia membawa pulang empat emas, lima perak dan sembilan gangsa menerima insentif khas berjumlah RM95,500 keseluruhan.
Insentif kemenangan disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis di sebuah hotel di sini.
(Hannah Yeoh)