SYDNEY, 16 Oktober - Atlet renang Australia yang juga merupakan pemenang empat pingat emas Olimpik, Ariarne Titmus mengumumkan persaraannya serta-merta daripada sukan renang pada Khamis, keputusan yang disifatkannya sebagai amat sukar.
Atlet berusia 25 tahun itu sebelum ini berehat panjang selepas temasya Olimpik Paris dan pernah menyatakan hasrat untuk kembali bersaing di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Keputusan ini memang sukar, sangat sukar, tapi saya rasa tenang dan gembira dengannya,” kata Titmus menerusi hantaran di Instagram. “Saya sentiasa cintakan sukan renang sejak kecil, tapi selepas mengambil masa jauh daripada kolam, saya sedar ada perkara lain dalam hidup yang kini lebih penting bagi saya dan itu tidak mengapa.”
Titmus sebelum ini memenangi emas acara 400 meter gaya bebas di Olimpik Tokyo dan Paris, namun rekod dunianya dalam acara itu dipecahkan oleh perenang Kanada, Summer McIntosh, awal tahun ini.
Walau bagaimanapun, beliau masih memegang rekod dunia bagi acara 200 meter gaya bebas.
“Saya sebenarnya berniat untuk kembali bertanding. Saya tak sangka Paris akan jadi Olimpik terakhir saya. Bila difikirkan semula, saya harap saya menikmati perlumbaan terakhir itu dengan lebih sepenuh hati,” katanya.
Sepanjang kariernya, Titmus mengumpul 33 pingat antarabangsa termasuk lapan pingat Olimpik, sembilan pingat Kejohanan Dunia, dan lapan pingat daripada Sukan Komanwel.-AFP
