KUALA LUMPUR, 26 Jun- Atlet bina badan dari Sarawak, Suharwardi Dahlan meninggal dunia di kediamannya awal pagi Isnin lalu.
Allahyarham meninggal dunia sehari selepas beliau membantu pasukan Miri mengungguli Kejohanan Bina Badan Sarawak Ke-58, di Sibu.
Beliau yang juga anggota polis berpangkat Koperal disahkan meninggal dunia pada usia 28 tahun akibat daripada komplikasi jantung.
Allahyarham tidak sedarkan diri di kediamannya di Pujut Tanjung Batu, Miri pada pukul 3 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan kecemasan, namun disahkan sudah meninggal dunia.
Persatuan Bina Badan Miri dalam catatan di laman sosial Facebook berkata, mereka kehilangan seorang atlet yang mempunyai masa depan cerah dalam sukan bina badan.