fb fb fb fb fb

Angkat berat semakin suram akibat tiada kejohanan




ALOR SETAR, 1 Februari- Sukan angkat berat berdepan suasana suram selepas tiada kejohanan besar diadakan sejak tahun 2020 hingga kini.

Malah Kejohanan Sukan Malaysia, SUKMA Johor 2020 yang sepatutnya diadakan pada April tahun ini tetapi dianjakkan ke tahun 2024 juga tidak mempertandingkan acara angkat berat.

Kecewa dengan situasi itu, Timbalan Presiden Persatuan Angkat Berat Kedah, Firdaus Abd Razak berkata sukan angkat berat yang sebelum ini banyak menyumbang pingat buat kontinjen negara berdepan pelbagai risiko sekiranya ia tidak ditangani dengan segera oleh pihak bertanggungjawab khususnya Kementerian Belia dan Sukan, KBS dan Majlis Sukan Negara, MSN.

Ia termasuk tiada lagi atlet-atlet muda yang berminat untuk menceburi acara sukan tersebut.

Selain itu, atlet angkat berat ketika ini juga berkemungkinan besar hilang sumber pendapatan dan mereka memilih untuk bersara awal atau menyertai sukan yang lain atau menceburi bidang lain.

Justeru beliau berharap, pihak bertanggungjawab dapat menganjurkan kejohanan angkat berat bertaraf besar bagi menguji tahap kemampuan atlet-atlet angkat berat tempatan sekaligus meningkatkan kembali keyakinan, semangat dan moral mereka.

Beliau yang juga bekas atlet angkat berat kebangsaan bercakap kepada RTM di Alor Setar.

Media Baharu