SEPANG, 26 Oktober - Penampilan sulung pelumba wildcard negara, Hakim Danish Ramli, dalam kelas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang berakhir dengan penuh emosi apabila terpaksa menamatkan saingan awal akibat masalah teknikal pada jentera
Pelumba berusia 18 tahun kelahiran Terengganu itu menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama selepas jentera yang ditungganginya mengalami kerosakan di selekoh pertama, meskipun sempat mencatat masa terpantas pada pusingan kedua.
"Saya terpaksa menamatkan perlumbaan awal sebab ada technical problem dengan jentera saya. Saya pun belum pasti lagi apa punca sebenar, pasukan saya sedang periksa," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang.
Hakim yang memulakan perlumbaan dengan penuh semangat, turut mencatat masa terpantas pada pusingan kedua sebelum jentera yang ditungganginya mengalami kerosakan di selekoh pertama.
"Kalau tak ada masalah teknikal, saya rasa saya boleh menamatkan perlumbaan dalam kedudukan yang mengutip mata," ujarnya dengan nada yakin.
Meskipun kecewa tidak dapat menghabiskan perlumbaan, Hakim tetap menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik dunia seperti Joel Kelso dan beberapa nama besar lain dalam Moto3.
"Saya berasa sangat gembira sebab dapat berlumba dengan penungang-penunggang dunia.
"Mereka memang laju, dan itu satu pengalaman berharga bagi saya," katanya.
Lebih manis, penampilan sulungnya disaksikan ribuan penyokong tempatan yang memenuhi grandstand Sepang sambil bersorak memberi semangat kepada pelumba muda negara berkenaan.
Sebagai pelumba muda yang baru menamatkan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup di kedudukan ketiga keseluruhan, Hakim kini melangkah ke fasa lebih besar dalam kariernya selepas diumumkan menyertai pasukan MSi Racing Team bagi musim penuh Moto3 tahun hadapan.
"Saya tak sabar untuk beraksi sepenuh musim di World Championship (Kejohanan Dunia) tahun depan.
"Tapi saya masih perlu perbaiki diri untuk benar-benar bersedia menghadapi musim penuh nanti," katanya yang jelas sudah mula mempersiapkan diri untuk cabaran akan datang", ujarnya.
Perlumbaan kategori Moto3 dimenangi pelumba Honda Team Asia, Taiyo Furusato dengan catatan masa 22 minit 03.88 saat, diikuti Angel Piqueras (Frinsa-MT Helmets-MSI) di tempat kedua.
Pelumba Leopard Racing, Adrian Fernandez melengkapkan podium selepas ketinggalan 2.625s daripada Furusato yang meraih gelaran sulungnya sejak memulakan karier pada 2022.