(Kiri) S. Sivasangari meraih emas dalam acara final perseorangan wanita dan Ng Eain Yow (Kanan) bersama pingat emasnya/FOTO BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Kejayaan dua pemain skuasy negara, Ng Eain Yow dan S. Sivasangari yang menyumbang pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 semalam mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada kedua-dua pemain skuasy negara itu menerusi perkongsian di laman Instagram Istana Negara hari ini.
Eain Yow, perseorangan lelaki negara meraih pingat emas selepas menewaskan Saurav Ghosal dari India 9-11, 11-9, 11-5, 11-7 dalam pertarungan selama 72 minit.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau 13 tahun untuk merangkul gelaran juara perseorangan lelaki selepas Ong Beng Hee pada 2002 dna 2006 serta Mohd Azlan Iskandar pada edisi 2010.
(Skuad skuasy negara mengharungi cabaran Sukan Asia kali dengan menyumbang tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa/FOTO BERNAMA)
Sivasangari pula meraih emas dalam acara final perseorangan wanita selepas mengalahkan bintang Hong Kong, Chan Sin Yuk 8-11, 15-13, 10-12, 11-9, 12-10 dalam pertarungan selama 64 minit.
Skuad skuasy negara mengharungi cabaran Sukan Asia kali ini dengan menyumbang tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa.
Kontinjen negara berjaya melepasi sasaran 27 pingat dengan meraih kutipan pingat setakat jam 6 petang tadi sebanyak 29 pingat iaitu, lima emas, tujuh perak dan 17 gangsa.
Sukan Asia Hangzhou akan melabuhkan tirai 8 Oktober ini.