fb fb fb fb fb

AFC gantung Mohun Bagan, denda lebih AS$100,000 selepas enggan beraksi di Iran

FOTO www.indiansuperleague.com

NEW DELHI, 19 Disember - Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menggantung kelab India, Mohun Bagan Super Giant, daripada semua kejohanan kendaliannya serta mengenakan denda melebihi AS$100,000 selepas kelab itu enggan beraksi dalam satu perlawanan di Iran.

Mohun Bagan tidak berlepas ke Iran bagi perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara Asia 2 (ACL2) menentang Sepahan pada September lalu, dengan alasan tiada jaminan keselamatan serta perlindungan insurans perubatan.

Jawatankuasa disiplin dan etika AFC dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa Mohun Bagan digantung sehingga musim 2027–2028.

Sebagai salah satu kelab bola sepak tertua di Asia, Mohun Bagan turut dikenakan denda AS$50,000 serta diarahkan membayar AS$50,729 bagi menampung kerugian dan kos yang ditanggung AFC serta Sepahan.

AFC turut menarik balik penyertaan Mohun Bagan daripada kejohanan berkenaan selepas kelab itu gagal hadir, dengan semua perlawanan mereka diisytiharkan terbatal dan tidak sah.

Sebelum ini, Mohun Bagan memohon kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) supaya perlawanan itu dipindahkan ke venue berkecuali, namun permohonan tersebut ditolak.

Kelab itu juga tidak berlepas ke Iran tahun lalu bagi perlawanan menentang Tractor SC, sehari selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Israel. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD