IPOH, 18 Februari - Kapten bawah 23 tahun Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov sah menjadi pemain import baharu pasukan Perak FC.
Beraksi di posisi tengah, pemain berusia 21 tahun itu menjadi pemain kelima ditandatangani skuad The Bos Gaurus untuk saingan Liga Super musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin memaklumkan beberapa lagi pemain baharu akan diumum dalam masa terdekat.
"Kita sudah lengkapkan senarai pemain Perak FC.
"Kita ada 10 pemain baharu yang akan kita umumkan pada akhir Ramadan.
"Beberapa pemain seperti, Azfar, Tommy Mawat dan yang lain akan kita umumkan selepas pemeriksaan perubatan termasuk import", kata Bobie yang ditemui media pada Karnival Pelancaran Jersi Home Perak FC 2024/2025 di Dataran MBI, Ipoh pada Sabtu.
Perak FC sebelum ini telah menandatangani empat pemain tempatan antaranya tonggak pertahanan Negeri Sembilan, Tommy Mawat Bada dan penjaga gol PDRM, Ramadhan Abd Hamid.
Dalam pada itu, Bobie turut memaklumkan pasukan itu sedang dalam perancangan untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan termasuk di luar negara sebagai persiapan sebelum saingan liga bermula Mei depan.