KUALA LUMPUR, 26 November - Gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Shandong Taishan, pada saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 Zon Timur, yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Jinan, China, malam ini.
Separuh masa pertama perlawanan menyaksikan insiden kad kuning mewarnai aksi JDT di atas padang bermula dengan pemain tengah Harimau Selatan Iker Undabarrena, yang menerima kad kuning pada minit ke-23 akibat kekasaran terhadap Xie Wenneng.
Situasi tegang ketika itu turut menyaksikan seorang lagi pemain JDT Juan Muniz dikenakan kad kuning selain kapten pasukan Natxo Insa, turut dilayangkan kad kuning pada waktu kecederaan babak pertama dipercayai ketika kekecohan dalam perlawanan sengit berkenaan.
Namun anak buah Hector Bidoglio mempamerkan serangan bertali arus termasuk gerakan daripada Murilo De Araujo Santos kepada Arif Aiman Hanapi dan seterusnya kepada Oscar Arribas di kiri padang, namun percubaan itu diselamatkan penjaga gawang tuan rumah Wang Dalei, pada minit ke-28.
Memasuki babak kedua, pemain Shandong Taishan tampil dengan semangat baharu dan melancarkan serangan sejurus perlawanan bersambung melalui gerakan Chen Pu kepada Bi Jinhao, namun peluang tersebut gagal mereka sempurnakan.
Arif Aiman terus berusaha mencipta peluang untuk membuka akaun jaringan dengan membawa bola dari sebelah kiri padang pada minit ke-62 sebelum menghantar kepada Bergson da Silva, namun Wang Dalei sekali lagi tenang menggagalkan percubaan berkenaan.
Ketika JDT terus berusaha memecahkan kebuntuan, pasukan tuan rumah mengambil langkah berani menerusi pemain hadapan Zeca, yang berjaya menjaringkan gol pertama walaupun cuba dihalang oleh Eddy Silvestre Israfilov pada minit ke-68.
Bertandang sebagai pasukan pelawat, JDT mempamerkan penguasaan permainan namun gagal menemui ruang untuk menyamakan kedudukan meskipun pemain seperti Natxo, Heberty, Oscar dan Arif Aiman berhempas pulas mencipta peluang sehingga wisel penamat.
JDT sebelum ini membuka kempen dengan seri 2-2 menentang Shanghai Port, menang bergaya 3-0 ke atas Shanghai Shenhua, tewas 1-3 kepada Gwangju FC sebelum bangkit menundukkan Ulsan Hyundai 3-0.
Skuad Harimau Selatan seterusnya akan melayan kunjungan kelab Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi seterusnya, 3 Dis.
Hanya lapan pasukan teratas selepas lapan aksi peringkat liga, akan mara ke pusingan 16 teratas. - BERNAMA