fb fb fb fb fb

5 pemain hoki ais Kanada bebas tuduhan rogol

Carter Hart, salah seorang daripada lima yang dituduh meninggalkan Mahkamah London, Ontario selepas dibebaskan daripada pertuduhan serangan seksual / AFP

LONDON, 24 Julai – Lima pemain hoki ais profesional Kanada yang didakwa merogol seorang wanita pada 2018 dibebaskan daripada pertuduhan, selepas mahkamah mendapati keterangan mangsa tidak boleh dipercayai.

Kes tersebut menarik perhatian seluruh negara dan mencetuskan perdebatan mengenai budaya dalam sukan hoki, yang dianggap sukan kebangsaan Kanada.

Michael McLeod, Alex Formenton, Dillon Dube, Carter Hart dan Callan Foote didakwa menyerang mangsa di sebuah bilik hotel di London selepas majlis meraikan kejayaan pasukan hoki remaja lelaki kebangsaan.

Kelima-lima mereka menafikan dakwaan, mendakwa wanita berkenaan yang identitinya dilindungi, bersetuju secara sukarela untuk terlibat dalam beberapa aksi seks.

Hakim Mahkamah Tinggi, Maria Carroccia, ketika membacakan penghakimannya berkata, “Saya tidak mendapati keterangan pengadu adalah kredibel atau boleh dipercayai,” dan pihak pendakwa gagal membuktikan kes mereka.

Kenyataan itu mengejutkan hadirin di mahkamah, sementara keluarga tertuduh berpelukan kegembiraan.

Hakim turut memutuskan tidak ada bukti mencukupi untuk menunjukkan persetujuan wanita itu terjejas akibat rasa takut.

Kes berprofil tinggi itu sebelum ini dikendalikan oleh juri, namun berubah kepada perbicaraan oleh hakim sahaja selepas dua panel juri digugurkan.

Kes berkenaan pernah ditutup pada 2018, tetapi dibuka semula susulan pendedahan bahawa Hockey Canada menggunakan dana yuran keahlian untuk menyelesaikan tuntutan saman mangsa sebanyak C$3.55 juta (AS$2.6 juta) di luar mahkamah, sehingga memaksa kepimpinan badan tersebut meletak jawatan.

Peguam bela menyifatkan tuduhan itu didorong tekanan politik dan media.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE