Keputusan CAS: Khabar gembira buat tujuh pemain warisan Harimau Malaya

Pemain warisan, Joao Figueiredo ketika sesi latihan skuad Harimau Malaya sebelum menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027 pada 7 Jun 2025./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya untuk beraksi semula sementara menunggu keputusan muktamad rayuan, memberi sinar baharu buat mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan CAS benarkan tujuh pemain warisan beraksi semula sementara menunggu rayuan muktamad.
  • Pemain seperti Holgado, Garces dan lain memberi reaksi positif serta kembali menyertai latihan dan aktiviti pasukan.
  • Keputusan itu dianggap penting untuk mengekalkan momentum pasukan menjelang kelayakan Piala Asia menentang Vietnam.
  • Sebelum ini FIFA mendapati FAM dan pemain langgar Artikel 22 FDC, denda dan penggantungan 12 bulan dikenakan.

Keputusan CAS yang meluluskan Penangguhan Pelaksanaan terhadap Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel, menjadi khabar gembira kepada mereka yang sudah rindu untuk menyertai semula aktiviti bola sepak.

Holgado menerusi laman sosial Instagramnya berkata kebenaran itu adalah keputusan positif buat beliau setelah sekian lama melalui tempoh sukar.

“Apabila anda tidak menjangkakannya, matahari muncul semula dan semuanya baik-baik saja, tiada ribut yang kekal selamanya,” katanya.

Palmero pula memberikan reaksi ringkas bahawa mereka sudah kembali.

Sementara itu, Garces yang digantung daripada bermain dengan kelab La Liga Deportivo Alaves disahkan boleh menyertai semula latihan bersama rakan sepasukannya.

Dalam pada itu, penyokong bola sepak tempatan turut memberikan reaksi positif susulan keputusan CAS yang disifatkan sebagai penting bagi mengekalkan momentum pasukan kebangsaan menjelang aksi kelayakan Piala Asia menentang Vietnam, Mac depan.

“Alhamdulillah, manisnya kekal tenang dan percaya dengan rezeki. Selamat kembali beraksi buat tujuh pemain tersebut,” kata Norizan Omar.

Pada 26 September lepas, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan FAM dan tujuh pemain warisan negara didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.

Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit hingga membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di sini pada Jun lepas.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Harapan untuk melihat hukuman itu diringankan tidak kesampaian selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November lepas, menolak rayuan FAM dan kesemua pemain sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib mengenai pelanggaran serius Artikel 22 FDC.

Justeru, FAM tidak mempunyai pilihan selain membawa kes itu ke CAS bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan badan berkaitan. – BERNAMA