FAM arah pengadil Liga Super jalani pemulihan prestasi

FAM pandang serius isu prestasi pengadil ketika aksi NSFC menentang JDT / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Januari – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius isu prestasi pengadil perlawanan ketika aksi Liga Super antara Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 9 Januari 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatankuasa Penilaian Prestasi menilai keputusan pengadil dan VAR berhubung insiden utama sepanjang perlawanan.
  • Dapati beberapa keputusan S Logeswaran dan Muhd Usaid Jamal kurang tepat berkaitan Undang-undang Permainan 12.
  • Kedua-dua pengadil dirujuk ke fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu untuk memperbaiki prestasi.
  • Sesi Postmatch Debriefing dianjurkan pada 15 Januari untuk menilai dan membimbing semua pegawai perlawanan.

Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah meneliti Laporan Penilai Pengadil seterusnya menilai prestasi pegawai perlawanan tersebut secara menyeluruh, termasuk analisis terhadap insiden-insiden utama yang berlaku sepanjang perlawanan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil penilaian mendapati terdapat beberapa keputusan yang kurang tepat dilakukan oleh pengadil perlawanan, S. Logeswaran dan pengadil VAR, Muhd Usaid Jamal khususnya berkaitan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 – “Kesalahan dan Kelakuan Tidak Bersopan”.

Sehubungan itu, FAM telah memutuskan untuk merujuk kedua-dua pengadil terbabit kepada fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu bagi memperbaiki prestasi mereka.

Dalam pada itu, Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah menghantar surat rasmi kepada semua pegawai perlawanan termasuk Penilai Pengadil yang terlibat untuk menghadiri sesi ‘Postmatch Debriefing’ di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 15 Januari 2026.

Objektif utama sesi tersebut adalah untuk menilai dan membimbing pegawai perlawanan agar mereka dapat memperbaiki setiap kelemahan.

FAM dalam kenyataan juga menegaskan, tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan kualiti pengadilan dan akan memanggil mana-mana pegawai perlawanan yang menunjukkan prestasi yang lemah untuk bimbingan dan pemulihan prestasi.