Pelbagai jenis mercun, bunga api dirampas di R&R Juru

Foto PPM Wilayah Satu Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 14 Januari – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bersama sebuah lori dalam satu operasi di kawasan Rehat dan Rawat, R&R Juru arah utara Lebuhraya Utara-Selatan, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PPM Wilayah Satu merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api di R&R Juru.
  • Pemeriksaan lori lima tan menjumpai 206 kotak bernilai RM131,650.
  • Lori penyeludupan turut disita, menambah nilai rampasan kepada RM211,650.
  • Pemandu berusia 56 tahun ditahan; tiada lesen atau permit, disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

Pemangku Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Superintenden Fakharuddin Amri Sanusi berkata, operasi bersepadu itu dijalankan kira-kira pukul dua petang bersama Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas sebuah lori lima tan menemukan 206 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM131,650.

Menurutnya, lori yang membawa muatan tersebut turut disita dengan anggaran nilai RM80,000, menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM211,650.

Seorang pemandu lori tempatan berusia 56 tahun turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit sah bagi penyimpanan bahan letupan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.