fb fb fb fb fb

Video tular 'perang mulut' antara parti, polis belum terima laporan rasmi

(ACP Dzulkhairi Mukhtar)

JOHOR BAHRU, 7 Mac - Polis belum menerima laporan berhubung pertengkaran mulut beberapa individu melibatkan ahli parti politik ketika memasang bendera parti di kawasan Iskandar Puteri, di sini.

Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bagaimanapun siasatan lanjut dibuat berdasarkan kepada rakaman video di media sosial yang dikesan, 6 petang semalam.

"Insiden tersebut pihak polis belum menerima sebarang laporan polis daripada mana-mana pihak. Namun begitu, siasatan telah mula dijalankan tentang kejadian yang berlaku. Pihak polis juga menyeru individu ataupun saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil membuat laporan polis bagi siasatan lanjut," katanya.

Polis turut menasihatkan mereka yang terlibat dengan aktiviti kempen PRU Dewan Negeri Johor agar menjaga tingkah laku bagi mengelak kekecohan.

"Pihak polis juga ingin menasihatkan semua individu ataupun ahli parti yang terlibat dalam semua gerak kerja parti supaya mengawal tingkah lalu dan emosi sepanjang perjalanan proses PRU Dewan Negeri Johor ini agar tidak berlaku sebarang kekecohan ataupun insiden yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

"Turut dinasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dengan menggunakan video yang diviralkan dalam insiden tersebut," menurut kenyataan itu.

Media Baharu