fb fb fb fb fb

Trak terbalik, anggota tentera cedera parah dalam perjalanan ke pusat undi

SEREMBAN, 15 November - Seorang anggota tentera cedera parah dalam satu kejadian trak terbalik di Jalan Chengkau-Pilin, dekat sini, tengah hari tadi, ketika dalam perjalanan ke pusat pengundian awal di Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata trak Regimen ke-11 Kor Armor Diraja, Kem Syed Sirajuddin, Gemas itu membawa 24 anggota tentera berumur lingkungan 24 hingga 30 tahun.

“Mereka dalam perjalanan ke pusat mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, untuk tujuan mengundi awal. Setibanya di tempat kejadian, trak berkenaan didakwa gagal dikawal dan terbalik.

“Susulan kejadian berkenaan, seorang anggota mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Rembau, empat berada di Zon Kuning (cedera sederhana) dan 19 lagi Zon hijau (cedera ringan). Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

(Trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa 24 anggota ke pusat pengundian awal
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terlibat nahas dan terbalik/FOTO Orang Awam)

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. - BERNAMA

Media Baharu