fb fb fb fb fb

PRU15: Tengku Zafrul dan isteri mengundi sama di SK Puncak Alam 2

SELANGOR, 19 November- Keadaan cuaca yang lembab dan hujan gerimis tidak mematahkan semangat pengundi Kuala Selangor.

Seawal jam 7 pagi, pengundi berdaftar telah mula beratur di SK Puncak Alam 2. Sebanyak 13 saluran dibuka melibatkan 102, 553 pengundi berdaftar.

Pagi ini, turut mengundi di saluran 4, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selesai mengundi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 di sini.


(Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama isteri Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad./Foto Bernama)

Turut menunaikan tanggungjawab sama, isterinya, Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad.

"Proses berjalan lancar pagi ini, dan walaupun cuaca mendung, alhamdulillah saya dapat lihat ramai pengundi turun mengundi di SK Puncak Alam 2, turut sama isteri saya juga dapat mengundi pagi ini," kata Tengku Datuk Seri Zafrul di sini.

Parlimen P096 merangkumi 39 buah pusat pengundian yang melibatkan DUN Melawati, DUN Ijok, dan DUN Jeram.

Bagi memastikan keselamatan sepanjang pengundian di Kuala Selangor ini, pihak polis dan petugas suruhanjaya pilihan raya menjaga keamanan bagi memastikan pengundian berjalan dengan lancar.
 
Kerusi Parlimen Kuala Selangor menyaksikan persaingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, melibatkan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkeflfly Ahmad, Tengku Zafrul yang mewakili Barisan Nasional (BN), selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Shaid Rosli dan Timbalan Yang Dipertua Pas, Mohd Noor Mohd Sahar daripada Perikatan Nasional (PN).

Media Baharu