fb fb fb fb fb

Saingan DUN Perlis, pertembungan enam penjuru di Titi Tinggi dan Bintong

KANGAR, 5 November- Perlis antara negeri yang turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selain Pahang dan Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Antara yang menjadi tumpuan di Parlimen Padang Besar ialah kerusi DUN Titi Tinggi apabila enam calon bersaing di DUN tersebut termasuk Datuk Zahidi Zainal Abidin yang turut sama bertanding kerusi parlimen bagi tiket bebas.

Manakala DUN Chuping, persaingan tiga penjuru melibatkan penyandangnya daripada BN, Asmaiza Ahmad bakal ditandingi dua lagi calon iaitu Saad Seman, PN dan Natthavuth Seng, PH.

Di Parlimen Kangar iaitu DUN Bintong, Menteri Besar Perlis yang juga penyandang kerusi, Datuk Seri Azlan Man akan berdepan persaingan enam penjuru melibatkan calon PEJUANG, Warisan, PH, PN dan Bebas.


(Antara yang menjadi tumpuan di Parlimen Padang Besar ialah kerusi DUN Titi Tinggi
apabila enam calon bersaing di tersebut)

Di Kangar juga bakal menyaksikan dua beradik yang bertanding di dua kerusi DUN berbeza iaitu mewakili PN, Asrul Aimran Abd Jalil di DUN Kayang dan PKR, Asrul Nizan Abd Jalil DUN Sena.

Selain itu, di Parlimen Arau seramai 25 orang calon bertanding di lima kerusi DUN dan satu kerusi parlimen.

Di DUN Pauh, pertembungan empat penjuru dijangka sengit apabila kesemua calon yang bertanding merupakan calon muka baharu selepas penyandang kerusi itu berpindah ke Guar Sanji yang merupakan salah satu kubu kuat PAS.

PKR pula meletakkan kepercayaan kepada calon lepasan Universiti Malaysia Perlis yang berusia 23 tahun di Tambun Tulang bakal memberi saingan kepada tiga lagi calon termasuk bekas penyandangnya Datuk Ismail Kassim.

Manakala Pengerusi Perikatan Nasional Perlis, Mohd Shukri Ramli yang mewakili PAS akan mempertahankan kerusi DUN Sanglang melawan tiga lagi pencabar dari BN, PH dan Amanah.

Secara keseluruhannya, PRU kali ini dijangka bakal membawa satu perubahan besar dalam politik Perlis.

Laporan disediakan oleh Sofi Shamsudin

Media Baharu