(Sarjan Noor Pazilah Abdul Rahman tiba di Dewan Serbaguna Pusat
Pengundian IPD Kulim sebaik pusat ini dibuka pukul 8.00 pagi)
KULIM, 3 Disember- Seorang anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, Kedah menjadi pengundi pertama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal Pilihan Raya Umum ke-15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai.
Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Noor Pazilah Abdul Rahman tiba di Dewan Serbaguna Pusat Pengundian IPD Kulim sebaik pusat ini dibuka pukul 8.00 pagi.
Walaupun hari ini tidak bertugas, beliau hadir lengakap berpakaian seragam dan datang awal untuk mengundi.
Sementara itu Pengurus Pilihan Raya pusat pengundian ini Datuk Abdul Bari Abdullah berkata pusat Pengundian Awal IPD Kulim ini dibuka pukul 8.00 pagi hingga 2 petang.
"Seramai 76 anggota polis layak mengundi awal bagi Parlimen Padang Serai dengan dua saluran," kata Abdul Bari kepada media di sini.
Antara tetamu kenamaan yang tiba kira-kira pukul 8.15 pagi tadi untuk memantau proses pengundian awal ialahTimbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Profesor Dr Azmi Sharon dan Ketua Polis Kedah, Datuk CP Wan Hassan Wan Ahmad.
(Seramai 76 pengundi awal melibatkan anggota polis akan mengundi awal bagi Parlimen
Padang Serai dengan 2 saluran)