KUALA LUMPUR, 8 November - Barisan Nasional (BN) menampilkan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) sebagai tawaran untuk rakyat bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan PADU bukan sebagai janji manis atau indah malah pelan yang mempunyai sasaran yang jelas demi kemaslahatan semua.
"Di dalam PADU ini terdapat 99 Amal dan Usaha BN yang akan menjadi panduan kami dalam mengemudi tanah air kita menjadi negara berkemajuan.
"PADU adalah pelan yang serius dan rasional," katanya ketika membentangkan Manifesto BN secara maya malam Isnin.
(FOTO Facebook Barisan Nasional)
Tambahnya, antara digariskan adalah penyelesaian nasional yang komprehensif bagi menjawab pelbagai isu paling mendesak seperti kos sara hidup yang tinggi.
"PADU akan melakukan satu revolusi besar-besaran dalam sistem pengagihan bantuan di seluruh negara dengan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas atau "Assistive Basic Income.
"Skim ini akan hadir sebagai jalan paling adil, munasabah dan strategik. Bukan sahaja bagi menangani kos sara hidup yang sangat membebankan. Namun bagi memastikan tiada lagi isi rumah yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan," katanya lagi.