fb fb fb fb fb

PRU15: ATM, RELA digerakkan bantu polis jika banjir - Hamzah

(FOTO HIASAN)

TASEK GELUGOR, 9 November - Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pelbagai agensi lain akan digerakkan bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya berlaku bencana banjir ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata bantuan itu diperlukan kerana sebahagian besar kekuatan PDRM dikhususkan untuk PRU15.

Katanya, di peringkat kementerian walaupun kira-kira 80,000 anggota polis telah digerakkan bagi menghadapi PRU15, lebih ramai diperlukan untuk bertugas jika berlaku banjir pada masa yang sama.

(Datuk Seri Hamzah Zainuddin)

"Jadi kita telah mengarahkan pihak RELA untuk bersama membantu namun masih tidak cukup...saya turut minta bantuan daripada anggota tentera dan beberapa agensi lain sekiranya banjir berlaku ketika PRU15.

"Maklum sahajalah bila banjir berlaku, Ketua Polis Daerah adalah pengarah kawasan dan pada masa sama, mereka terpaksa menjaga keselamatan ketika pilihan raya," katanya kepada pemberita, di sini.

Hamzah mengulas persediaan kerajaan jika berlaku bencana banjir ketika PRU15 berikutan beberapa kawasan telah pun mengalami banjir ketika ini.

Media Baharu