fb fb fb fb fb

PRU Dewan Negeri Johor: 12 Mac, tarikh pengundian


JOHOR BAHRU, 9 Februari
- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum, (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan perkara itu turut memaklumkan, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari. Manakala bagi pengundian awal adalah pada 8 Mac ini.

"Bagi menjalankan proses PRU DUN ini, SPR telah melantik 56 pegawai pengurus pilihan raya, dibantu oleh 186 penolong pegawai pengurus. Manakala bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 56 pasukan bertugas penguat kuasa kempen pilihan raya (PPKPR) yang dianggotai oleh wakil-wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT)dan wakil-wakil calon yang bertanding," katanya.

Seramai 2,597,742 daftar pemilih layak menunaikan tanggungjawab masing-masing berdasarkan senarai pengundi yang dikemas kini sehingga 21 Januari 2022.

PRN Johor perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor penggal ke-14 pada 23 Januari lalu.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Media Baharu