PORT DICKSON, 12 Februari - PRU Dewan Negeri Johor boleh diteruskan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) lebih longgar berbanding PRU Sarawak dan Melaka sebelum ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan perincian berhubung SOP itu sebelum penamaan calon 26 Februari ini.
"Ada sedikit kelonggaran biarlah SPR umumkan. Kita tengok ketika PRU Melaka dan Sarawak sebelum ini tidak ada kluster COVID-19 dikesan dan dari segi kesihatan awam kita sudah berjaya menyekat penularan wabak tersebut.
"Sekarang ini kita benarkan PRU Dewan Negeri Johor sewaktu gelombang Omicron tetapi Kementerian Kesihatan juga telah buat kajian dari segi kesan Omicron terhadap kesihatan awam iaitu dari segi liputan vaksinasi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemeteraian Kerjasama Promosi Kesihatan antara Wellness Hub Kementerian Kesihatan dan rakan strategik, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Khairy berkata kepatuhan SOP dalam kalangan masyarakat termasuk pemimpin politik berdepan PRU Dewan Negeri Johor itu nanti amat penting bagi mengawal penularan COVID-19.
SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan pengundian awal 8 Mac.
Dalam pada itu, mengulas permintaan doktor kontrak berhubung perjawatan tetap disertakan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khairy berkata pihaknya ketika ini menawarkan skim berpencen kepada mereka.
"Ia melibatkan 4,186 jawatan tetap tambahan yang akan diwujudkan di KKM menjelang Jun ini, mungkin pengambilan baharu (kakitangan) pada masa akan datang kita tawarkan KWSP," katanya.