GUA MUSANG, 11 Ogos - Manifesto yang bakal dilancarkan bukan sekadar retorik namun manifestasi Barisan Nasional (BN) adalah untuk membela rakyat.
Calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menegaskan beliau telah mengadakan perbincangan secara mendalam bersama kepimpinan parti bagi memastikan ia dapat dilaksanakan sebaiknya.
"Saya tidak mahu manifesto hanya sekadar manifesto, bila kita berjaya kita perlu laksanakan biar lah yang mampu kita laksanakan, saya tidak mahu hanya retorik, itu sudah pasti sebab orang muda tidak mahu yang retorik, orang muda mahu keperluan mereka dipenuhi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Pesta Bola Nenggiri di Kampung Sungai Asap B, di sini antara penduduk bersama bekas pemain bola sepak Kelantan serta selebriti tanah air.
Dalam pada itu, Mohd Azmawi aktif berkempen menggunakan platform media sosial.
Beliau memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial dengan berkongsi gambar dan video kempen serta aktiviti dilakukan setiap hari.
"Saya sebenarnya sudah aktif dalam medsos sejak 2018 lalu dan kebanyakan anak muda disini tahu gerak kerja saya, sebab pengundi muda di sini 61 peratus belia dan ia cukup membantu dalam gerak kerja," katanya.
Lebih 20,000 individu layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang melibatkan 20 pusat daerah mengundi.