KLUANG, 28 September - Pengundi Orang Asli antara yang terawal keluar menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Mahkota hari ini.
Tok Batin Kampung Tanah Runtuh, Mohd Noorsham Abdullah, 49, berkata selaku pemimpin kawasannya, beliau bangun seawal pukul 6 pagi untuk mengajak penduduk kampung keluar mengundi.
“Kami datang beramai-ramai iaitu 15 orang. Perjalanan dari kampung ke pusat dekat sahaja, cuma mengambil lima minit. Pukul 7 pagi kami semua sudah tiba dan menunggu (di luar pusat mengundi) sebelum dibenarkan masuk untuk memilih YB (wakil rakyat).
“Kami tak mahu ketinggalan untuk memilih wakil rakyat terbaik untuk kami. Lagipun prosesnya mudah dan sekejap sahaja sudah selesai,” katanya semasa ditemui di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil di sini hari ini.
Turut mengundi di situ ialah isteri dan dua anak Mohd Noorsham.
Suri rumah Radiah Sahari, 35, daripada suku Jakun pula memberitahu beliau keluar awal untuk ke pusat pengundian kerana tetap bersemangat mengundi walaupun ini merupakan kali ketiga dia menjalankan tanggungjawab itu sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
“Saya kena datang untuk beri undi kepada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang boleh bantu kami. Penting sebab kampung kami adalah satu-satunya kampung Orang Asli di sini. Kena pastikan kami pilih yang baik,” katanya. - BERNAMA