HULU SELANGOR, 10 Mei - Persiapan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB)pada esok hari berjalan lancar.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak ketika meninjau persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini berkata semua ketua tempat mengundi telah memberikan kerjasama yang baik bagi memastikan kelancaran proses hari pengundian.
"Setiap semakan yang dilakukan hari ini adalah bagi memastikan kesemua kelengkapan mengundi mencukupi. Petugas-petugas yang dilantik pejabat pengurus (PRK) juga semua berpengalaman dan diyakini mampu menyelesaikan apa-apa masalah yang timbul esok.
"Bagi pengundi-pengundi esok kita nasihatkan untuk keluar ikut masa yang kita cadangkan sebab kalau mereka semak dalam mySPRsemak memang kita ada cadangkan masa-masa sesuai untuk keluar mengundi, " katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup pukul 2 petang.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.