KUALA KUBU BAHARU, 10 Mei- Menjelang tamat tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) tengah malam ini, calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao terus rancak menyantuni masyarakat di sekitar kawasan tersebut.
Sepanjang kempen berlangsung sejak 27 April lepas, jelas calon-calon bertanding menjalankan kempen dengan berhemah dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihaknya telah meluluskan 185 kempen dan permit setakat ini.
Tambahnya lagi, 10 laporan telah diterima dan lima kertas siasatan dibuka serta dua tangkapan telah dibuat sehingga 9 Mei lalu.
Bermula pada pukul 8.00 pagi esok, seramai 39,362 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih Ahli Dewan Negeri KKB.
PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya mendiang Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu akibat kanser.