fb fb fb fb fb

Polis sahkan Syed Hussien tiada rekod sabitan jenayah

Syed Hussien Syed Abdullah

KLUANG, 27 September- Polis mengesahkan calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah tidak mempunyai sebarang rekod sabitan jenayah.

Ketua Polis Daerah Kluang Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Bahrin Mohd Noh berkata nama Syed Hussien tidak terdapat dalam rekod sabitan jenayah yang di bawah kesalahan boleh daftar menurut Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

"Siasatan yang dijalankan bersabit kes yang dinyatakan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan diarahkan agar kes di No Further Action (Tiada Tindakan Lanjut)," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada dakwaan yang menyatakan bahawa Syed Hussien mempunyai rekod jenayah yang dimuat naik di laman Facebook.

"Semalam, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang telah mengesan satu pautan di laman media sosial https://www.facebook.com/share/vTa9KEvvRDHZ6iqPd/?mibextid=oFDnkn berhubung dakwaan bahawa isu calon daripada Parti BN dipercayai mempunyai rekod jenayah," katanya.

Bahrin juga menasihatkan parti politik agar berkempen dengan cara yang sihat, termasuk tidak membuat kenyataan palsu terhadap individu lain.

SITI AISHAH MD ISA