(Program Ceramah Memperkenalkan Calon N42 Tioman, di Markas PAS Kampung Sepakat, di Rompin)
ROMPIN, 24 November- Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Pahang menyaksikan parti daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon wanita diperingkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat tempat dihati pengundi.
Malah mereka turut mendapat majoriti yang besar meskipun merupakan calon muka baharu.
Perikatan Nasional (PN) Pahang turut melakukan langkah sama dengan memilih pemimpin muslimat PAS kawasan Rompin sebagai calon gabungan itu untuk kerusi DUN Tioman.
Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, pemilihan calon wanita di DUN Tioman amat bertepatan kerana 50% pengundi di DUN berkenaan adalah kaum hawa.
Malah, pemilihan Nor Idayu Hashim, 35, sebagai anak tempatan dan pemimpin wanita tempatan, dilihat mampu mewakili suara golongan itu di dalam DUN Pahang.
“Untuk calon DUN Tioman, kriteria menarik yang ada pada beliau antaranya adalah soal kebolehan untuk ‘calon boleh menang’ bagi DUN ini yang keduanya kita melihat juga aspek latar belakang aktivisnya dengan dengan masyarakat, maka itu adalah pilihan kita dan ketiga, kita nak bagitau PAS adalah bersifat inklusif serta tidak mengenepikan wanita,”katanya.
Beliau ditemui pemberita pada program Ceramah Memperkenalkan Calon N42 Tioman, di Markas PAS Kampung Sepakat, di Rompin, Pahang.
Nor Idayu Hashim merupakan Ketua Muslimat Pas Cawangan Pianggu dan pemegang Diploma Perakaunan dari UITM Machang.
Proses pengundian bagi DUN Tioman sebelum ini ditangguhkan selepas calon PN, Md Yunus Ramli meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.
Kerusi berkenaan dijangka menyaksikan pertembungan lima penjuru antara calon PN, Nor Idayu Hashim, calon Bebas, Sulaiman Bakar; Osman Bakar (PEJUANG); Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan penyandang kerusi terbabit, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN).
Penamaan calon bagi DUN Tioman dijadualkan berlangsung pagi ini di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Rompin.
(Nor Idayu Hashim diumum calon PN untuk kerusi DUN N42 Tioman)