fb fb fb fb fb

PH yakin pertahan Kuala Kubu Baharu

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada program Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu di sini malam tadi (Khamis)/ Foto BERNAMA

HULU SELANGOR, 10 Mei - Berbaki satu hari lagi tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu, Kerajaan Perpaduan optimis mampu mengekalkan kerusi berkenaan sekali lagi.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, keyakinan itu berpaksikan kepada sambutan dan penerimaan penduduk setempat terhadap calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao.

"Kempen yang Kita jalankan Alhamdulillah lebih baik daripada peratusan yang saya lihat dari masa ke semasa.

"Saya yakin kita boleh kekalkan Kuala Kubu dalam Pilihan Raya kali ini. Cuma Kita berharap agar pengundi dapat terus mengundi terutama pada waktu pagi hari kerana dijangka sebelah petang akan berlaku cuaca yang kurang baik", katanya demikian selepas program Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu di sini malam tadi (Khamis).

Selain Amirudin, program yang dihadiri ribuan penyokong itu turut menampilkan pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan antaranya Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution serta barisan kepimpinan lain.

Turut menyampaikan ceramah, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof serta Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

PRK Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Sock Tao, Khairul Azhari Suat (Perikatan Nasional) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Dalam Pilihan Raya ke-15 lalu, penyandang Kee Hiong dari PH memperoleh majoriti 4,119 undi menewaskan tiga pencabarnya yang lain iaitu Chng Boon Lai (PRM), Teoh Kien Hong (PN) dan Dr R Siva Prakash (Muda).

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD