fb fb fb fb fb

Pertembungan empat penjuru di PRK KKB

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu (KKB) menyaksikan saingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas / Foto Bernama

HULU SELANGOR, 27 April - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu (KKB) menyaksikan saingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kertas penamaan daripada empat orang calon bagi pemilihan Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu. Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaanya,” katanya.

Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut manakala dua lagi calon, Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (PRM).

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK KKB adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding hingga 11.59 malam, 10 Mei.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong daripada Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerusi Dewan Negeri itu dengan majoriti 4,119 undi dalam saingan tiga penjuru.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengingatkan calon yang bertanding pada PRK Kuala Kubu Baharu mematuhi etika kempen sepanjang PRK itu berlangsung.

Beliau berkata, isu yang menyentuh peribadi dan sensitif perlu dielakkan bagi memastikan kelancaran kempen kali ini.

"Berkempenlah secara baik dan secara profesional supaya tidak menyentuh hal-hal yang sensitif. Kita juga mengharapkan kepada semua yang berkempen menjalankan tugas dengan baik dan sempurna supaya demokrasi ini dapat kita laksanakan dengan baik," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN