fb fb fb fb fb

Pengundi Limbang naik perahu redah banjir satu jam demi satu 'pangkah'

(Situasi semasa pagi tadi di Pusat Pengundian
SK Pengkalan Jawa yang ditenggelami air/FOTO Aldysopa)

LIMBANG, 19 November - Demi masa depan negara dan kehidupan yang lebih baik di pinggir bandar, seorang pengundi sanggup meredah banjir selama 1 jam menggunakan perahu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).

Pegawai Kanan Operasi Keselamatan sebuah syarikat penerbangan, Aldysopa Anam, 46 berkata dia dan ibunya Sopiah Pigang, berusia 67 tahun keluar mengundi seawal 11 pagi tadi bagi menunaikan kewajipan mereka lima tahun sekali.

"Ini merupakan pengalaman dan sejarah buat kami penduduk Kampung Pengkalan Jawa kerana mengundi dalam suasana banjir sejak hujan lebat melanda pada Isnin lalu.

"Pengalaman ini tidak akan saya lupakan kerana tidak pernah berlaku selama ini sepanjang pilihan raya, sama ada ini menjadi pengalaman kali pertama atau terakhir buat kami," katanya ketika dihubungi RTM

Tambah Adlysopa, dia dan ibunya menaiki perahu yang telah disediakan oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk keluar mengundi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jawa.

Adlysopa berkata walaupun banjir di pusat pengundian sampai paras dada namun situasi itu bukan penghalang buatnya menunaikan tanggungjawab seperti orang lain.

"JKKK menyediakan empat buah perahu untuk kami penduduk kampung. Dalam sebuah perahu hanya boleh membawa sejumlah kecil iaitu lima hingga ke tujuh orang penumpang," katanya.

(Aldysopa Anam swafoto sebelum menunaikan untuk mengundi di
SK Pengkalan Jawa yang menaiki perahu pagi tadi/FOTO Aldysopa Anam)



Tambahnya, siapa pun calon yang memenangi kerusi Parlimen Limbang, dia berharap agar kemajuan seperti jaringan internet dapat dilaksanakan secepat mungkin, selain menaik taraf saluran air bersih di kawasan itu demi penduduk kampung.

Parlimen Limbang menyaksikan pertembungan antara dua calon iaitu Racha Balang (Pakatan Harapan) dan Hasbi Habibollah, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Terdahulu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pengundi di empat pusat pengundian di Limbang dan Baram terpaksa meredah banjir untuk keluar mengundi.

Katanya, empat pusat pengundian yang terkesan akibat banjir itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Telahak dan SK Meritam di Limbang serta SK Dato Sarif, Kampung Narum, Marudi dan SK Long Bemang di Baram.

Media Baharu