KOTA BHARU, 30 Oktober - PAS kekal dengan pendirian bahawa UMNO bukan musuh walaupun tidak menjalinkan kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata penyatuan ummah itu selari dengan ketetapan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang perlu merangkumi parti Melayu-Islam.
Konsep penyatuan itu dapat dilihat semasa pembentukan kerajaan secara bersama sejak Mac 2020 lalu.
(Takiyuddin bercakap kepada pemberita selepas
Majlis Ramah Mesra Bersama Kelab Media Kelantan (KEMUDI), di sini)
"Kita tidak bermusuh…sebab itu kita kekal konsep penyatuan ummah, tidak boleh bermusuh walaupun kita tidak berkawan rapat tetapi bermusuh jangan sekali. Sebenarnya kita sudah bergabung Muafakat Nasional kita dah bergabung.
"Untuk PRU15 ini ya lah.. ada perkara-perkara yang membuatkan kita terpaksa buat pilihan sebab Presiden kita jelas penyatuan ummah mesti merangkumi semua parti-parti melayu Islam, jadi dengan itu kita begitulah," kata Takiyuddin di sini.
Dalam perkembangan berkaitan jelas beliau, PAS akan mengekalkan sekurang-kurangnya sepuluh penyandang kerusi Parlimen termasuk Presiden PAS untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.
Takiyuddin bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci nama penyandang terbabit.
Perikatan Nasional (PN) yakin untuk memenangi kesemua kerusi Parlimen di Kelantan berdasarkan rekod pencapaian yang baik di negeri itu.