fb fb fb fb fb

Lebih 200 anggota polis ditugaskan di Parlimen Bagan Datuk Sabtu ini

BAGAN DATUK, 18 November- Lebih 200 anggota polis dari Balai Polis Hilir Perak akan ditugaskan sepanjang hari pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Bagan Datuk, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ini bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengundi sentiasa terjamin.

Jelas beliau, seluruh pasukannya telah bersiap sedia bagi menjaga ketenteraman dan memberi jaminan proses mengundi berjalan lancar.

"Saya minta pengundi keluarlah dengan selamat dan keluarlah ke tempat-tempat ditetapkan. Kalau boleh kita elakkan kesesakan bagi calon dan penyokong-penyokong parti. Saya menyeru kepada calon-calon ini supaya mengawal dan juga memastikan semua penyokong-penyokong parti dalam keadaan tidak menimbulkan sebarang masalah dan keluarlah bersama-sama untuk menjaga keamanan bersama pihak polis," katanya.

Tambahnya, setakat ini tiada insiden yang serius berlaku membabitkan calon dan penyokong parti yang bertanding sepanjang kempen PRU15 di Parlimen Bagan Datuk.

Beliau turut mengingatkan semua pihak terutama penyokong parti supaya tidak membuat provokasi ketika hari pengundian dan selepas keputusan pilihan raya diperoleh bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri

Beliau berkata demikian kepada RTM di Balai Polis Bagan Datuk.

Parlimen Bagan Datuk dikategorikan satu daripada tiga kawasan panas di Perak, selain Tambun dan juga Larut.

Media Baharu