fb fb fb fb fb

KPM tegas tidak mahu sekolah menengah dijadikan pusat undi

KUALA LUMPUR, 14 Februari - Kementerian Pendidikan tetap dengan pendirian, sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjejas.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pelajar yang menduduki peperiksaan itu adalah kohort SPM yang paling terkesan akibat COVID-19.

Selain itu, katanya, pendirian itu juga mengambil kira setiap meja dalam bilik peperiksaan telah disediakan dengan kod bar dan disusun mengikut indeks lengkap dan teratur.

Sebarang perubahan akan memberi kesan kepada keputusan atau susun atur penyelarasan keputusan peperiksaan.

"Secara keseluruhan hampir semua bilik di sekolah digunakan untuk tujuan peperiksaan SPM dan pada hari Khamis sebelum hari pengundian nanti, ada peperiksaan Matematik dan ini akan melibatkan semua calon SPM di seluruh negara termasuk di Johor.

"Ini adalah satu peperiksaan yang besar dan pada hari Isnin akan ada peperiksaan Sains yang turut melibatkan ramai calon maka kita tidak mahu susunan ini diganggu, dipindahkan dan diasingkan untuk tujuan pilihan raya kerana nanti proses atau tatacara yang kita gunakan dalam penyusunan ini, kita perlu teliti satu persatu kembali," Radzi berkata demikian dalam video yang dimuat naik ke Facebook rasminya, bagi menjelaskan mengapa sekolah menengah di Johor tidak sesuai digunakan sebagai tempt pengundian bagi PRU Dewan Negeri pada 12 Mac nanti.

Menjelas lanjut, beliau berkata, pendirian itu juga diambil bagi memudahkan pihaknya menetapkan tempoh baharu peperiksaan bagi pelajar yang tidak dapat menduduki SPM kerana dikuarantin.

Bagaimanapun, pihaknya tiada masalah jika sekolah rendah digunakan bagi tujuan pilihan raya berkenaan.

 

Media Baharu