(Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia)
KUALA LUMPUR, 20 November- Pembentukan kerajaan baharu perlu lebih stabil dan kukuh berbanding kerajaan sebelum ini.
Anggota kabinet yang bakal dibentuk juga harus menghentikan politiking yang boleh menggugat kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa UUM, Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, sebaliknya usaha merealisasikan manifesto yang dibentangkan oleh parti yang memimpin negara nanti harus dilaksanakan bukan hanya janji kosong.
"Dalam konteks ini mereka tahu apa yang mereka harus lakukan apa yang rakyat tuntut ketika kempen pilihan raya dan saya rasa mereka akan buat dalam bentuk dasar yang lebih baik supaya kita boleh berhadapan dengan situasi sukar khususnya tahun depan nanti bila kita rasakan ekonomi kita akan mencabar,"katanya.
Beliau bercakap selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Beliau turut berpandangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam menyaksikan rakyat berpecah memilih parti, namun ia memberi suasana yang dinamik serta cabaran politik yang lebih menarik.
(Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia)