fb fb fb fb fb

Jangan pakai, bawa barangan logo parti ke pusat undi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 27 September- Semua pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diingatkan supaya tidak memakai baju, topi, pelitup muka atau membawa barang yang mempunyai lambang serta simbol parti atau calon semasa memasuki pusat mengundi esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan berkata, petugas pilihan raya boleh melarang pengundi tidak mematuhi atau melanggar peruntukan ditetapkan.

"SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam kerana sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan," katanya.

Peringatan itu turut terpakai kepada calon dan petugas pilihan raya.

Dalam pada itu pengundi juga tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit di saluran masing-masing dan ia perlu diletakkan di tempat yang disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

Bagaimanapun semakan awal maklumat pengundian seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dibuat di portal semakan https://mysprsemak.spr.gov.my atau menghubungi hotline SPR 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

PRK DUN Mahkota menyaksikan saingan 'satu lawan satu' antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI