KUALA LUMPUR, 8 November - Orang ramai dinasihat tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa di kawasan tumpuan ramai sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (RPU15).
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi hantaran di Facebook rasmi, berkata larangan termasuk sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari sehingga hari pengundian pada 19 November nanti.
"Ini adalah untuk memastikan kelancaran PRU15 selain bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini terutamanya membabitkan aspek keselamatan dan sekuriti orang ramai khususnya para pengundi," menurut CAAM.
Semua pengendalian aktiviti dron tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Civil Aviation Directives (CADs).