fb fb fb fb fb

Calon PKR bakal wakili Kerajaan Perpaduan di DUN Sungai Bakap

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 3 Jun - Calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal mewakili Kerajaan Perpaduan untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Perkara itu dipersetujui sebulat suara oleh semua komponen parti dalam satu mesyuarat khas, petang tadi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata keputusan berkenaan dicapai tanpa sebarang pertikaian dari mana-mana parti.

Jelasnya, ia memandangkan kawasan itu sebelum ini juga diwakili calon dari parti sama.

"Barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang telah memutuskan dengan sebulat suara bahawa PKR akan menghantar calon di Sungai Bakap.

"Ini berdasarkan semangat parti yang bertanding sebelum ini diberi keutamaan untuk bertanding semula dan PKR bersedia menyahut mandat daripada barisan kepimpinan Perpaduan untuk pilih seorang calon," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kerajaan Perpaduan negeri di Wisma DAP, Pulau Pinang, di sini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri, Nurul Izzah Anwar, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid selaku Timbalan Pengerusi MPN Pulau Pinang, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang Muhammad Faiz Fadzil.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid diumumkan sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap bagi Kerajaan Perpaduan.

Empat timbalan pengarah PRK yang akan mewakili parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bakal diumumkan kemudian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN