fb fb fb fb fb

Calon, penyokong digalak kempen secara sederhana - Fahmi

Fahmi Fadzil

KUALA KUBU BAHARU, 29 April- Calon dan penyokong parti diingatkan agar berkempen secara bersederhana sepanjang tempoh kempen sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Pada masa sama semua pihak dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut dengan sikap sesetengah pihak yang bersifat negatif sehingga menyentuh isu berkaitan 3R (agama, raja dan bangsa).

"Saya ingatkan supaya semua yang berkempen harus berkempen sederhana. Jangan kita bersikap kerterlaluan dan melampau atau terikut dengan perkara bersifat negatif.

"Sebab kita tahu undang-undang sedia ada tidak membenarkan kita berkempen menggunakan isu 3R," katanya kepada pemberita ketika mengulas berkenaan dakwaan kerajaan lemah dalam mengenakan tindakan terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan berita palsu.

Fahmi menegaskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa mengambil tindakan berlandaskan undang-undang dan ianya tidak dibuat berdasarkan kepentingan politik semata-mata.

Sementar itu komuniti MADANI dilihat mempunyai peranan dalam membantu menguar-uarkan usaha dan dasar yang dilaksana Kerajaan Perpaduan kepada penduduk setempat.

Perkara itu disebabkan maklumat yang disalur menggunakan dialek tempatan lebih mudah difahami dan berupaya sampai ke akar umbi.

"Komuniti MADANI tafsirkan data dan pemakluman ini dalam dialek atau loghat komuniti setempat, sebab penyampaian menerusi televisyen sedikit berbeza.

"Jadi penggunaan dialek dalam komuniti lebih mudah untuk difahami dan maklumat lebih mudah untuk disampaikan terus sampai ke akar umbi," katanya selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini.

Sebelum itu, Fahmi juga sempat meluangkan masa bersama-sama Komuniti MADANI Hulu Selangor.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI