KUALA LUMPUR, 12 Jun- Calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap telah dimuktamadkan dan akan diumumkan secara rasmi hari ini pada pukul 9.00 malam.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan berkata, perkara diputuskan dalam Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia BN-PH yang melibatkan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, pada 11 Jun di Seri Perdana Putrajaya.
"Bagi maksud penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK, mesyuarat memutuskan untuk melantik Rafizi Ramli dan Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya Kerajaan
Perpaduan.
"Manakala Pengerusi Operasi Bersama PRK DUN Sungai Bakap mewakili Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang akan diketuai oleh Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Datuk Musa Sheikh Fadzir," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap dan 22 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.