(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) meluangkan masa
beramah mesra bersama peniaga ketika melakukan tinjauan mesra
di Pasar Malam Durian Tunggal/BERNAMA)
DURIAN TUNGGAL, 10 November- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui perlu ada kerjasama baharu antara parti politik sekiranya tiada parti yang menang majoriti mudah pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Beliau berkata, jika perkara itu tidak dilakukan, situasi Parlimen tergantung pasti berlaku kerana sebuah kerajaan tidak dapat diwujudkan.
"Kalau tidak ada satu parti yang mempunyai 'simple majority' (majoriti mudah), tentu saja memerlukan kerajaan campuran, kalau tidak Parlimen akan tergantung.
"Sebab itulah kita pun tak tahu lagi ada ke tidak parti yang mempunyai majoriti secara sendiri untuk membentuk kerajaan, memang kena ada kerajaan campuran,” katanya selepas melakukan tinjauan mesra di Pekan Durian Tunggal, di sini pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta calon BN Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan.
Bagaimanapun, tambahnya, sekiranya ia berlaku, beliau meletakkan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memikirkan bentuk kerjasama yang akan dijalinkan nanti.
“Keputusan besar seperti ini, parti yang akan membuat keputusan. Tidak boleh individu untuk membuat keputusan mahu PKR ke, mahu Perikatan Nasional (PN) ke, mahu Pakatan Harapan (PH) ke, tidak mahu itu dan tidak hendak ini, parti akan buat keputusan,” katanya.
(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) meluangkan masa beramah mesra
bersama peniaga ketika tinjauan mesra di Pasar Malam Durian Tunggal/BERNAMA)
Beliau turut diminta mengulas calon Perdana Menteri sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan.
"Kita tunggu BN menang dulu baru kita boleh cerita siapa nak jadi PM siapa nak jadi TPM (Timbalan Perdana Menteri), kita menang dulu," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berkata, keputusan mengenai cadangan cuti umum sehari sebelum hari pengundian. akan dibuat kerajaan sedikit masa lagi.
"Tunggu saya umumlah, hari ini surat khabar dah ada 'byline' tapi detailnya tunggu kemudian," katanya.