(SK Juara)
PULAU TIOMAN, 6 Disember- Seramai 2,010 pemilih bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di lima pusat mengundi di Pulau Tioman, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman esok.
Daripada jumlah itu, 1,144 merupakan pengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek, 311 di Sekolah Kebangsaan (SK) Juara dan 273 lagi di Balai Raya Kampung Genting.
Seramai 185 pengundi berdaftar direkodkan di SK Mukut sementara 97 pengundi lagi di pusat mengundi Salang Pusaka Resort Tioman.
Semua pusat mengundi dibuka bermula pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang, kecuali SMK Tekek yang akan ditutup pada pukul 3.00 petang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
SPR juga menyarankan pengundi yang hadir mengundi esok supaya memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi.
Manakala pengundi yang positif COVID-19 boleh berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut.
(Kampung Juara, Pulau Tioman)