
- Sektor teknologi menunjukkan prestasi baik suku pertama, berpotensi menyokong pertumbuhan serantau dan Malaysia jika momentum berterusan.
- Malaysia boleh mengekalkan momentum pertumbuhan dengan memanfaatkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang semakin kukuh di rantau ini.
- Ketidaktentuan dasar tarif AS dan tekanan harga tenaga global perlu dipantau; berisiko menjejaskan ekonomi berdagang dan permintaan teknologi.
- AMRO mengesyorkan sokongan bersasar kepada isi rumah dan sektor terkesan serta reformasi subsidi untuk lindungi rentan dan kukuhkan fiskal.
KUALA LUMPUR, 6 April – Malaysia kekal berada pada kedudukan kukuh untuk berdepan ketidaktentuan global, disokong prestasi sektor teknologi yang terus mengukuh.
Ketua Kumpulan dan Pakar Ekonomi Utama Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Allen Ng, berkata sektor teknologi mempamerkan prestasi baik bagi suku pertama tahun ini dan berpotensi menyokong pertumbuhan serantau, termasuk Malaysia, sekiranya momentum itu berterusan.
“Sektor teknologi terus menunjukkan prestasi yang agak baik setakat ini dan jika momentum itu lebih kukuh daripada jangkaan, ia berpotensi memberi sokongan tambahan kepada pertumbuhan serantau, termasuk Malaysia, memandangkan negara ini merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan yang mendapat manfaat daripada permintaan dipacu AI,” katanya ketika membentangkan Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 2026 secara maya.
Dalam masa sama, Malaysia dilihat mempunyai ruang untuk terus mengekalkan momentum pertumbuhan dengan memanfaatkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang semakin kukuh di rantau ini.
Bagaimanapun, AMRO mengingatkan bahawa ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat serta tekanan harga tenaga global masih perlu dipantau kerana berpotensi menjejaskan prospek pertumbuhan, khususnya bagi ekonomi yang bergantung kepada perdagangan luar dan permintaan teknologi.
Dari sudut dasar, badan itu berpandangan Malaysia wajar meneruskan pendekatan sokongan yang lebih bersasar kepada isi rumah dan sektor paling terkesan, di samping mengekalkan kewaspadaan terhadap risiko inflasi yang boleh merebak ke sektor lain.
AMRO turut menyifatkan keadaan semasa sebagai peluang reformasi bagi Malaysia untuk menambah baik pelaksanaan subsidi agar lebih cekap dan berkesan, sekali gus melindungi golongan rentan dengan lebih baik serta mengukuhkan kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang.