PROTON perkukuh perkhidmatan selepas jualan

Foto PROTON

KUALA LUMPUR, 29 November – PROTON memperluas akses kepada perkhidmatan selepas jualan menerusi penggunaan platform digital bagi memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat berkaitan penyelenggaraan dan penjagaan kenderaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PROTON memperkenalkan saluran media sosial khusus After Sales di Facebook, Instagram dan TikTok.
  • Platform digital membantu PROTON memahami keperluan pelanggan dan menambah baik mutu perkhidmatan selepas jualan.
  • Saluran rasmi berkongsi panduan penyelenggaraan, kempen servis, penggunaan alat ganti tulen dan peringatan keselamatan.
  • Penyampaian maklumat yang tepat membantu pelanggan membuat keputusan penyelenggaraan demi mengekalkan prestasi dan keselamatan kenderaan.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi pengenalan saluran media sosial khusus PROTON After Sales di Facebook, Instagram dan TikTok yang mula beroperasi 1 Oktober lalu.

Pengarah Perkhidmatan Selepas Jualan PROTON, Wan Hazran Wan Mustafa berkata, pendekatan itu selaras dengan perubahan corak penggunaan pelanggan yang semakin bergantung kepada platform digital untuk mendapatkan maklumat.

Menurut beliau, saluran berkenaan turut membantu syarikat memahami keperluan pelanggan, seterusnya menambah baik mutu perkhidmatan selepas jualan.

Antara maklumat yang dikongsikan menerusi platform berkenaan ialah panduan penyelenggaraan kenderaan, kempen servis, penggunaan alat ganti tulen serta peringatan berkaitan keselamatan.

Penyediaan maklumat menerusi saluran rasmi itu juga bertujuan meningkatkan ketelusan dan mengurangkan penyebaran maklumat tidak tepat berkaitan penjagaan dan penyelenggaraan kenderaan.

Pada masa sama, inisiatif berkenaan diharap dapat membantu pelanggan membuat keputusan lebih tepat berhubung keperluan penyelenggaraan bagi memastikan prestasi dan aspek keselamatan kenderaan sentiasa terpelihara.

Penggunaan platform digital itu melengkapi usaha PROTON dalam memperkukuh ekosistem perkhidmatan selepas jualannya yang kini merangkumi 201 pusat servis di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.