PMKS disaran perkukuh pelan perniagaan jangka panjang

FOTO BERNAMA

ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 11 Jun – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu memperkukuh perancangan perniagaan jangka panjang bagi menghadapi persekitaran ekonomi tidak menentu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenal pasti awal kos berpotensi meningkat, khususnya bahan input dan operasi; pastikan aliran tunai perniagaan kekal lancar.
  • Tingkatkan kecekapan operasi dan urus perniagaan secara lebih sistematik untuk mengurangkan tekanan kos dan menstabilkan aliran tunai.
  • Mempelbagaikan produk serta proaktif mendapatkan maklumat kemudahan pembiayaan bank dan skim kerajaan seperti KUSKOP.

Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim berkata, ini termasuk mengenal pasti lebih awal kos yang berpotensi meningkat, khususnya kos bahan input dan operasi serta memastikan aliran tunai perniagaan kekal lancar.

Menurutnya, langkah tersebut bagi mengelakkan tekanan kos yang boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan.

“Untuk menguruskan aliran tunai, pertama sekali yang harus diingatkan kepada peniaga-peniaga adalah langkah untuk meningkatkan kecekapan, kerana kalau kecekapan kos mereka tidak berada di tahap yang optimum, aliran tunai mereka akan sentiasa terganggu.

“Jadi, ini memerlukan pengurusan awal dan lebih sistematik kerana ia dapat membantu peniaga merancang dan meminimumkan risiko terhadap perniagaan,” katanya selepas program Biz Malaysia di sini.

Tambahnya, peniaga juga boleh mempelbagaikan produk dan perkhidmatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap produk tertentu.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar peniaga lebih proaktif mendapatkan maklumat mengenai kemudahan yang ditawarkan institusi kewangan serta agensi kerajaan.

Ini termasuk skim pembiayaan di bawah Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

”Kemudahan tersebut berupaya membantu peniaga yang berdepan situasi sukar dan memerlukan pembiayaan untuk menilai pilihan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan masing-masing, khususnya dalam menyesuaikan operasi dengan persekitaran semasa,” tambahnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.