OPEC+ setuju tingkat pengeluaran minyak 206,000 tong sehari mulai Mei

FOTO REUTERS

VIENNA, 6 April – Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, yang dikenali sebagai OPEC+, memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 206,000 tong sehari bermula bulan depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • OPEC+ ulangi pentingnya melindungi laluan maritim antarabangsa bagi memastikan aliran tenaga tidak terganggu, sambil membangkitkan kebimbangan terhadap serangan infrastruktur tenaga.
  • OPEC+ menegaskan pemulihan aset tenaga yang rosak memerlukan kos tinggi dan masa lama, meningkatkan ketidaktentuan pasaran jika keselamatan bekalan terancam.
  • Mesyuarat maya dengan anggota utama diadakan untuk meneliti prospek pasaran; pertemuan susulan dijadualkan pada 3 Mei untuk keputusan lanjut.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang rasmi pertubuhan itu hari ini, keputusan berkenaan dicapai selepas satu mesyuarat secara maya diadakan bagi meneliti keadaan semasa serta prospek pasaran global.

Mesyuarat tersebut disertai oleh negara-negara anggota utama termasuk Arab Saudi, Rusia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman.

Dalam kenyataan yang sama, OPEC+ mengulangi pendirian Jawatankuasa Pemantauan Bersama Menteri (JMMC) pada mesyuarat ke-65 yang menekankan kepentingan kritikal dalam melindungi laluan maritim antarabangsa bagi memastikan aliran tenaga global tidak terganggu.

“Kumpulan itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap serangan ke atas infrastruktur tenaga yang boleh menjejaskan keseluruhan ketersediaan bekalan minyak dunia,” menurut kenyataan itu.

OPEC+ menegaskan bahawa usaha untuk memulihkan aset tenaga yang mengalami kerosakan kepada kapasiti penuh bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi, malah menuntut tempoh masa yang lama.

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan memberi amaran bahawa sebarang tindakan yang melemahkan keselamatan bekalan tenaga hanya akan meningkatkan ketidaktentuan pasaran.

Langkah tersebut juga dilihat boleh menjejaskan usaha kolektif dalam menyokong kestabilan pasaran demi manfaat pihak pengeluar, pengguna serta pertumbuhan ekonomi global secara keseluruhannya.

OPEC+ dijadualkan mengadakan mesyuarat susulan pada 3 Mei depan bagi meneliti perkembangan pasaran dan membuat keputusan selanjutnya.